Wednesday, October 28, 2015

Peristiwa Raja Muhammad Shah Dibuang Ke Pahang

Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang mencatatkan, Sultan Mansur Shah murka apabila mendapat perkhabaran anakanda baginda, Raja Muhammad membunuh anak Bendahara Tun Perak bernama Tun Besar. Peristiwa sedih itu berlaku dalam tahun 1450an, sewaktu Raja Muda Muhammad bersama pengiringnya melawat Kampung Bendahara dengan menunggang kuda.

      Waktu itu Tun Besar dan rakan-rakannya sedang bermain sepak raga bulatan. Malangnya, secara tidak sengaja bola yang disepak Tun Besar telah terkena kepala Raja Muhammad yang menyebabkan destarnya jatuh ke tanah. Raja Muhammad murka lalu menikam Tun Besar. Kematian Tun Besar telah menimbulkan kemarahan keluarga Bendahara dan mereka bersiap-sedia hendak menuntut bela tetapi telah dihalang oleh Bendahara Tun Perak.

      Demi untuk menegakkan keadilan, Sultan Mansur Shah telah menjatuhkan hukuman ke atas Raja Muhammad iaitu dibuang ke Pahang. Kemudian ditabalkan menjadi sultan dengan gelaran Sultan Muhammad Shah.




Sumber: Ghulam Jie M Khan (1000 Kisah Dan Fakta Raja Melayu, Kerabat & Pembesar. Jilid Lima)

No comments:

Post a Comment