Tuesday, December 22, 2015
Sumpahan Firaun TUTANKHAMUN (Setiap pengkaji akan dilanda musibah)
"Kematian akan menjelma kepada sesiapa yang mengganggu ketenangan yang dikecapi firaun". Demikianlah amanran menyeramkan yang dikatakan dijumpai terpahat di makam milik firaun Raja Tutankhamun di Mesir oleh ahli arkeologi.
Sebaik membaca ungkapan amaran tersebut, mungkin ketakutan tercetus di jiwa mereka. Ini kerana ungkapan itu bukan berupa amaran semata-mata tetapi ia adalah sumpahan yang ditinggalkan firaun terbabit kepada sesiapa yang berani mengganggu makam dan persemadian mereka.
Umum mengetahui bahawa terdapat firaun yang memerintah dengan kejam ketika hidup dan mungkin juga saga pemerintahan itu akan turut dibawa sehingga mereka mati.
Sesuatu yang seram dan menakutkan berlaku kerana didapati ada antara ahli arkeologi dan pihak yang terbabit dalam pembongkaran makam firaun Raja Tutankhamun dilanda musibah misteri seolah-olah sumpahan firaun berkenaan adalah benar.
Sejarah dan kes
Makam firaun Raja Tutankhamun atau Raja Tut adalah antara makan firaun yang paling popular di kalangan pengkaji arkeologi walaupun ia ditemui paling lewat berbanding makam firaun lain.
Populariti makam firaun berkenaan bukanlah terletak kepada seni bina pemakamannya tetapi lebih kepada misteri berhubung 'sumpahan maut' yang melanda ahli arkeologi dan pihak yang terbabit dalam pembongkaran makam persemadiannya.
Raja Tut ketika hidupnya dikenali sebagai firaun paling muda dalam sejarah Kerajaan Mesir Purba dan dia sudah dilantik menjadi pemerintah sejak berusia sembilan tahun.
Namun, seperti juga gelaran firaun yang sudah diperoleh pada usia muda, Raja Tut juga meninggal dunia pada usia yang muda. Kekuasaan dan kemewahan yang dimilikinya hanya bertahan selama 10 tahun apabila beliau mati pada usia 19 tahun.
Walau bagaimanapun, punca kematiannya masih menjadi misteri yang tidak dapat dipastikan oleh pengkaji sehingga hari ini. Selepas beliau mati, Raja Tut disemadikan dalam kawasan perkuburan khas yang dibina untuknya tetapi selepas 3,000 tahun, persemadiannya mula diganggu pada November 1922.
Dibiayai hartawan Lord Carnarvon, sekumpulan ahli arkeologi yang diketuai Howard Carter melakukan pencarian sehingga menjumpai kawasan pemakaman Raja Tut di kawasan gurun Lembah Di Raja Mesir.
Penemuan makam Raja Tut itu bukan sahaja tidak ternilai daripada sudut sejarah kerana raja itu adalah firaun termuda dalam peradaban Mesir Purba tetapi lebih menarik adalah pelbagai harta karun yang menimbun turut ditemui di dalam kawasan pemakaman tersebut. Kawasan pemakaman Raja Tut juga didapati paling sempurna berbanding dengan makam firaun lain.
Bagaimanapun, kegembiraan penemuan harta karun dan artifak arkeologi berharga itu tidak kekal kerana tidak lama selepas pembongkaran kawasan pemakaman itu, pelbagai musibah dan kejadian seram mula berlaku kepada kumpulan arkeologi.
Antaranya, penaja ekspedisi mencari makam Raja Tut, Lord Carnarvon didapati mati pada 4 April 1923 iaitu kira-kira lima bulan selepas makam itu 'diganggu' dan ditemui. Punca kematiannya juga amat pelik dan tidak masuk akal. Carnarvon mati kerana mencukur benjol merah di mukanya yang terjadi selepas digigit nyamuk.
Debaran mula menguasai ahli ekspedisi lain apabila dimaklumkan bahawa kesan merah gigitan nyamuk pada pipi mayat Carnarvon itu hampir sama dengan kesan kemerahan pada pipi mumia Raja Tut.
Selain Carnarvon, setiausaha peribadinya, Richard Bethell, turut maut akibat serangan jantung, empat bulan selepas lelaki itu melangkah masuk ke kawasan makam Raja Tut.
Kejadian pelik berlaku tidak hanya kepada manusia tetapi kepada haiwan peliharaan mereka yang terbabit dalam ekspedisi tersebut. Anjing peliharaan Carnarvon yang ditinggalkan di kediaman hartawan itu di England misalnya, terus melolong tanpa henti sehingga menemui maut, pada masa hampir sama dengan masa kematian tuannya.
Burung kenari milik ketua arkeologi iaitu Howard Carter pula mati ditelan ular tedung ketika majlis perasmian makam berkenaan di sebuah hotel pada Februari 1923.
Carter percaya kenari terbabit membawa tuah kerana haiwan menunjukkan tanda-tanda tertentu sebelum makam Raja Tut ditemui.
Ketua arkeologi dan muzium di New York, Amerika Syarikat, Arthur Mace turut menjadi mangsa sumpahan maut Raja Tut. Beliau dikatakan koma tanpa sebab ketika sedang mengkaji harta karun dan barang antik yang ditemui dalam makam tersebut dan tidak lama kemudian, akhirnya meninggal dunia.
Pengurus barang antik di Mesir, Dr. Gamal Mehrez pula mati sehari sebelum harta karun dan barang antik dari makam Raja Tut di hantar ke England pada 1972. Namun, terdapat segelintir pihak yang tidak percayakan kisah-kisah sumpahan maut Raja Tut. Antaranya Richard Adamson, pengawal makam Raja Tut sepanjang kajian terhadap firaun itu dijalankan.
Adamson mati 57 tahun selepas penemuan itu tetapi sejak makam firaun dibongkar, pelbagai musibah melanda diri dan keluarganya. Adamson nyaris maut dalam kemalangan teksi yang dinaiki bersama keluarganya.
Kepalanya hampir digilis tayar kenderaan selepas tercampak keluar dari teksi tetapi walaupun dirinya terselamat, kemalangan itu meragut nyawa isterinya manakala anaknya pula patah tulang belakang. Namun, Adamson menganggap kemalangan itu tidak ada kaitan dengan sumpahan Raja Tut.
Walau bagaimanapun, tidak seperti Adamson, ramai pihak percaya pelbagai musibah dan kejadian ngeri yang melanda ahli arkeologi dan cari gali makam Raja Tut adalah akibat sumpahan maut firaun Raja Tut.
Mereka mula diasak ketakutan tatkala memikirkan bahawa usaha membongkar makam Raja Tut adalah satu kesilapan yang menyebabkan sumpahan maut itu mengejar mereka, seorang demi seorang.
Teori
Seperti juga Richard Adamson, terdapat pihak skeptikal yang tidak percaya bahawa semua musibah dan kejadian pelik yang melanda ahli arkeologi dalam pembongkaran makam Raja Tut berpunca daripada sumpahan maut firaun terbabit. Sebaliknya, pihak terbabit percaya semua kemalangan itu tidak berkait dengan sumpahan maut tetapi sekadar kebetulan.
Kematian Carnarvon misalnya, bukanlah berpunca daripada kesan luka akibat pisau cukur di pipinya. Pihak skeptikal percaya Carnarvon sudah lama menghadapi masalah kesihatan selepas terbabit dalam kemalangan. Mace pula dikatakan koma akibat terlalu penat bekerja.
Dalam buku bertajuk Proceedings of The Royal Society, seorang saintis Perancis, Sylvian Gandon mengemukakan teori mengenai kematian yang berlaku kepada mereka yang terbabit dalam -pembongkaran makam Raja Tut.
Menurutnya, di dalam makam tersebut mungkin wujud spora mikro dan serangga pembunuh yang terperangkap sejak lebih 3,000 tahun dan spora serta serangga terbabit mungkin menyebabkan kematian itu.
Sumber: Misteri Dunia -Rahsia Di Sebalik Rahsia- (Nasrom Sira Rahim)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment