Saturday, November 21, 2015

Gambaran Imam Mahdi (Pemimpin dunia ke arah kebenaran) Yang Sebenar

IMAM MAHDI telah diutuskan oleh ALLAH S.W.T untuk membebaskan umat manusia daripada kezaliman Dajjal pada akhir zaman iaitu ketika dunia hampir kiamat. Beliau menjadi inspirasi kepada golongan yang tertindas dan umat Islam yang beriman bagi memperoleh kemenangan terhadap kezaliman dan kemungkaran cetusan Dajjal.

      Kewujudan Imam Mahdi yang bermaksud 'pemberi petunjuk ke arah kebenaran' pada akhir zaman itu adalah sesuatu yang diyakini akan berlaku malah, kehadiran tokoh itu melengkapkan tanda-tanda besar sebelum kiamat seperti sabda Rasulullah s.a.w:

      " Al-Mahdi daripada keturunanku, dahinya luas, hidungnya mancung. Dia akan penuhkan dunia dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana bumi sebelum itu dipenuhi dengan kezaliman dan permusuhan. Dia mentadbir dunia selama tujuh tahun, " (Riwayat Abu Daud Dengan Sanad Jayyid).

      Dalam membicarakan mengenai Imam Mahdi, sesuatu yang amat dikesalkan adalah terdapat individu tertentu yang menyebarkan ajaran sesat dengan tampil mengaku kononnya merekalah Imam Mahdi.

      Justeru, bagi menyangkal dakwaan pembawa ajaran sesat berkenaan, penyelidik dan ilmuwan Islam cuba menganggarkan siapakah Imam Mahdi sebenarnya dan bilakah beliau akan diturunkan di dunia ini.


- Peristiwa membabitkan Imam Mahdi -

      Peristiwa turunnya Imam Mahdi bagi menyelamatkan dunia daripada kekejaman Dajal bermula ketika dunia hampir kiamat. Ketika itu, makhluk kejam digelar Dajal akan muncul dan menjadi pemerintah yang zalim di dunia ini.

      Dajal juga mengaku kononnya sebagai tuhan, malah ramai manusia yang terpengaruh dan menjadi syirik. Lalu pelbagai kemusnahan dan kemungkaran berlaku di seluruh pelosok dunia tanpa dapat dikawal.

      Perintah ALLAH S.W.T tidak lagi dipatuhi malah, pelbagai dosa (dosa kecil mahupun dosa besar) terus-terusan berlaku tanpa henti. Solat, zakat dan syahadah diabaikan malah arak, zina dan pembunuhan mengiringi keruntuhan akhlak dan kekejaman yang berlaku setiap masa.

      Walaupun ramai manusia yang syirik dan menjadi pengikut Dajal, namun masih dapat segelintir umat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran Nabi Muhammad s.a.w dan terus beriman kepada ALLAH S.W.T.

      Tiada sebarang usaha yang mampu dilakukan golongan mukmin untuk mengubah kezaliman dan kemusnahan yang dilakukan kaum musyrikin ketika itu melainkan terus berdoa mengharapkan pertolongan ALLAH S.W.T.

      ALLAH S.W.T kemudian memakbulkan doa hamba-Nya dengan menjadikan Imam Mahdi sebagai penyelamat manusia ketika itu. Imam Mahdi akan bergandingan dengan Nabi Isa a.s untuk menentang kemungkaran serta membebaskan kezaliman.

      Nabi Muhammad s.a.w bersabda: " Umatku akan terus menerus berperang menegakkan kebenaran serta menzahirkannya hingga ke hari kiamat. Tambah baginda: Ketika hampir kiamat, Isa Bin Maryam akan turun lalu pemimpin umatku ketika itu (al-mahdi) berkata: Silakan mengimami solat kami! Jawab Nabi Isa: Tidak! Sebenarnya kam lebih berhak memimpin antara kamu. Itulah satu keistimewaan yang dianugerahkanoleh ALLAH kepada umat ini (Muhammad), " (Riwayat Al-Bukhari).

      Sterusnya, Imam Mahdi bersama Nabi Isa a,s dan pengikut mereka yang terdiri daripada golongan mukmin bertindak menentang Dajal dan pengikut-pengikutnya sehingga ajaran Islam berjaya dikembalikan ke seluruh dunia.


- Teori -

      Identiti dan ciri-ciri peribadi Imam Mahdi ditakrifkan secara berbeza antara golongan Sunnah dan Syiah. Berbanding ajaran Sunnah, Syiah menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai Imam Mahdi tetapi kebenarannya masih dipertikaikan.

      Mengikut ajaran Sunnah, Imam Mahdi memiliki nama yang sama dengan Rasulullah s.a.w iaitu Muhammad, malah beliau juga berasal daripada keturunan rasul terakhir itu.

      Wajah Imam Mahdi pula digambarkan memiliki dahi yang luas dan hidung yang mancung manakala tugasnya pada akhir zaman adalah untuk menggantikan kezaliman dan kemusnahan kepada kebenaran dan keadilan.

      Mengikut Syiah pula, identiti Imam Mahdi ditakrifkan menerusi konsep 'Imam 12' dalam ajaran mazhab berkenaan iaitu Imam Mahdi adalah generasi ke-12 daripada keturunan Nabi Muhammad s.a.w menerusi cucu Baginda iaitu Hussain bin Ali r.a.

      Pengikut Syiah berpendapat bahawa Imam Mahdi sudah dilahirkan di dunia ini pada 869 Masihi iaitu pada zaman pemerintahan Kerajaan Abasiyah. Beliau ialah Muhammad bin Al-Hasan Al-'Askari yang disembunyikan daripada musuh ketika berusia kira-kira empat tahun iaitu selepas bapanya meninggal dunia.

      Pengikut Syiah percaya bahawa selepas disembunyikan, Imam ke-12 itu kemudian dighaibkan ALLAH S.W.T dan akan kembali dijelmakan ALLAH S.W.T pada akhir zaman bagi menyelamatkan manusia daripada kemungkaran dan kezaliman dengan memerangi Dajal.

      Mengikut ajaran mazhab itu lagi, walaupun Imam Mahdi dighaibkan, beliau dikatakan masih hidup di dunia ini tetapi tidak dapat dilihat oleh manusia.

      Imam Mahdi dikurniakan ALLAH S.W.T umur yang panjang untuk terus hidup dari zaman Abasiyah sehingga ke akhir zaman supaya membolehkan beliau mengkaji bagaiaman kezaliman berleluasa sepanjang kehidupan manusia di dunia ini, seterusnya melakukan persediaan untuk menghadapinya apabila muncul kembali suatu hari nanti.

      Sesetengah sarjana berpendapat bahawa peperangan antara Imam Mahdi dengan Dajal adalah sama seperti peperangan yang meletus pada hari ini iaitu membabitkan penggunaan senjata api. Mereka berpendapat sedemikian kerana mengenangkan bahawa peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w juga berlaku dalam keadaan sama.

      Bagi menyangkal dakwaan penyebar ajaran sesat yang mengaku kononnya mereka adalah Imam Mahdi, seorang pengkaji berhujah seperti berikut: " Dia (Imam Mahdi) tidak sibuk mendakwakan dirinya Imam Mahdi dan mengajak manusia mengikutnya. Mengikur riwayat, dia sendiri pun tidak tahu yang dirinya adalah Imam Mahdi dan tidak suka dilantik atau dibai'at orang sebagai al-Imam, tidak suka disanjung orang."

      Menurut pengkaji itu lagi, pada zaman tersebut, golongan mukmin sendiri bertindak melantik tokoh terbabit sebagai pemimpin mereka tanpa perlu tokoh itu berkempen supaya manusia memilih dirinya sebagai pemimpin mereka.

      Tokoh itu sendiri dikatakan tidak mengetahui bahawa beliaulah Imam Mahdi yang disebut dalam hadis itu, malah masyarakat yang memilihnya juga tidak mengetahui bahawa individu yang dipilih mereka itu adalah Imam Mahdi.

      Menerusi hujah tersebut, jelaslah bahawa sekiranya terdapat individu tertentu yang tampil ketika ini dan mengaku kononnya merekalah 'Imam Mahdi', maka tidak syak lagi bahawa individu itu seorang pembawa ajaran sesat.

No comments:

Post a Comment