Sehingga kini, rahsia lokasi yang terletak antara Miami di Florida, Puerto Rico di Jamaica dan Bermuda terus tersimpan rapi tanpa dapat dipecahkan oleh sesiapa selama ratusan tahun.
Sejak 500 tahun itu jugalah pelbagai kejadian aneh dan menakutkan terus berlaku. Ratusan kapal dan pesawat yang melalui kawasan perairan itu terus ghaib secara tiba-tiba tanpa dapat dikesan.
Kes
Ketika belayar menjelajah pelusok benua Amerika yang baru dijumpai mereka pada tahun 1492, Christopher Columbus dan anak kapalnya dikejutkan dengan satu kejadian yang teramat aneh lagi menakutkan.
Di tengah ahtera mereka meredah samudera luas itu, secara tiba-tiba jarum kompas kapal berkenaan bergerak tanpa arah yang pasti. Keadaan itu semakin membingungkan kerana cuaca di luar kapal adalah baik.
Ketika masih kehairanan dengan fenomena tersebut, satu lagi kejadian aneh diperlihatkan kepada mereka. Ketika malam mula menjelma iaitu beberapa jam selepas itu, Columbus dan anak kapalnya dikejutkan dengan kemunculan bebola api yang berterbangan di udara sebelum jatuh ke dalam laut tidak jauh dari kapal mereka.
Satu lintasan cahaya dari arah ufuk juga kelihatan terbang melintas di hadapan mereka sebelum menghilang begitu sahaja. Hairan dengan kejadian itu, Columbus merekodkan kejadian itu sebagai satu daripada pengalaman aneh sepanjang ekspedisinya menjelajah benua yang baru ditemui.
Beberapa ratus tahun kemudian, satu lagi fenomena misteri direkodkan berlaku di kawasan perairan yang dilalui Columbus. Pada tahun 1880, sebaik kapal perang besar Inggeris iaitu 'Atlanta' melalui kawasan perairan yang dikenali sebagai Segitiga Bermuda, kapal berkenaan secara tiba-tiba terus lenyap bersama 300 kadet dan askar di dalamnya.
Ketika kebimbangan di kalangan ramai pihak tertumpu kepada kapal-kapal yang meredah kawasan Segitiga Bermuda, lokasi itu terus mencetuskan satu lagi ketakutan. Segitiga Bermuda tidak hanya 'menelan' kapal laut yang meredah perairan kawasan itu tetapi juga di ruang udara antara lingkungan pertemuan tiga negeri berkenaan.
Pesawat-pesawat yang terbang di atas kawasan perairan seluar kira-kira 1.2 juta kilometer persegi itu juga turut ghaib tanpa dapat dikesan. Antara peristiwa terbesar membabitkan kehilangan pesawat berlaku pada 5 Disember 1945, apabila 5 buah jet Grumman TBF Avenger AL milik Amerika Syarikat secara tiba-tiba terus ghaib daripada menara kawalan ketika sedang melakukan rondaan dan terbang melintasi Segitiga Bermuda.
Lebih aneh apabila kejadian berlaku ketika waktu siang dan siasatan mendapati juruterbang pesawat itu sempat berhubung dengan menara kawalan dan melaporkan yang mereka mengalami 'gangguan' tertentu. Beberapa minit kemudian, semua pesawat ghaib tanpa sempat memberikan isyarat SOS.
![]() |
Gambar Lokasi Segitiga Bermuda |
Kehilangan 5 pesawat itu menyebabkan gerakan mencari dan menyelamat segera dikerahkan. Sebuah pesawat Martin PBM-3 Mariner diterbangkan untuk operasi mencari tetapi secara tiba-tiba, pesawat mencari itu juga turut lenyap bersama 13 anggota di dalamnya. Tiada sebarang serpihan pesawat berkenaan yang berjaya ditemui.
Tanggapan bahawa kehilangan pesawat dan kapal di kawasan itu berpunca daripada kemalangan biasa mula luput apabila semakin banyak kapal dan pesawat yang didapati hilang secara misteri di kawasan tersebut.
Pada Jun 1965, sebuah lagi pesawat iaitu pesawat pengangkut C119 Flying Boxcar terus ghaib tanpa dapat dikesan ketika terbang melalui Segitiga Bermuda.
Kebanyakkan operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan tetap tidak menjumpai jejak serpihan ataupun mayat anggota. Bagaimanapun, sekitar tahun 1990, seorang pemerhati tampil bersama penemuan menggemparkan apabila dia mendakwa sudah berjaya menjumpai kerangka pesawat TBF Avenger yang hilang lebih 30 tahun sebelum itu, di pantai Fort Launderdale.
Walaupun ujian yang dijalankan mendapati kerangka itu memang milik pesawat berkenaan, namun tiada jawapan diperoleh berhubung punca sebenar ia hilang atau gangguan yang dialami juruterbang sehingga menyebabkan berlakunya tragedi misteri itu.
Teori dan Penemuan
Pelbagai kejadian misteri dan aneh berlaku di kawasan Segitiga itu menyebabkan beberapa pihak tampil melakukan kajian bagi membongkar rahsia dan teka-teki yang berselindung di sebalik misteri Segitiga Bermuda.
Pada 1973, tumpuan ramai pihak mula tersentak menerusi satu teori yang dikemukakan seorang pengkaji UFO menerusi artikelnya yang diterbitkan Biro UFO Antarabangsa.
Artikel itu memuatkan kenyataan angkasawan Gemini IV, James McDivitt dan Edwart H White II yang menceritakan bahawa pada waktu hilangnya pesawat C-119, mereka berdua sedang meninjau wilayah sekitar Kepulauan Hawaii.
Seperti direkodkan NASA, ketika itu iaitu dari 3 hingga 7 Jun 1965, kedua-dua angkasawan tersebut sedang melakukan eksperimen di luar kapsul Gemini.
Walaubagaimanapun, ketika sedang meninjau keadaan bumi itu, McDivitt menyatakan dia terlihat sebuah pesawat UFO meluncur di kawasan udara berhampiran Hawaii. Penemuan objek berbentuk sama turut dilihat White beberapa minit kemudian.
Sejak tersiarnya Biro UFO Antarabangsa itu, ramai pihak mula heboh memperkatakan kehilangan pesawat C-119 sebenarnya akibat 'diculik' UFO dan makhluk asing. Namun begitu, pihak skeptikal tetap menyangkal kenyataan dalam artikel itu dengan tanggapan bahawa kedua-dua angkasawan berkenaan mungkin tersalah anggap.
Penelitian mendapati terdapat beberapa persamaan dalam kebanyakkan kes itu. Pesawat atau kapal akan ghaib ketika keadaan cuaca baik malah, tidak memiliki masalah atau kerosakkan teknikal selain perhubungan radio antara pesawat dan kapal dengan menara kawalan berfungsi seperti biasa sehinggalah ia secara tiba-tiba terus terputus.
![]() |
Antara jenis-jenis pesawat yang dilaporkan hilang di Segitiga Bermuda |
Selain teori UFO, terdapat banyak teori lain yang dikaitkan sebagai punca misteri Segitiga Bermuda. Antaranya kejadian anomali magnetik-graviti, fenomena gempa laut, serangan gelombang besar, teori lingkungan waktu, medan graviti terbalik dan termasuk juga dikaitkan dengan lubang hitam (black hole) di angkasa.
Teori lebih pelik ala fiksyen adalahwilayah Segitiga Bermuda dikatakan sebagai pusat pemerintahan kota Atlantis yang tenggelam ribuan tahun lalu, kota manusia duyung, markas UFO di bumi selain pusat persembunyian Dajal.
Walaupun pelbagai teori dikemukakan, tiada satu pun yang berjaya menyingkap rahsia sebenar mengenai misteri wilayah segitiga terbabit. Sehingga kini, kes kehilangan misteri pesawat C-119 Flying Boxcar, TBF Avenger, Martin PBM-3 Mariner, kapal laut Atlanta serta ratusan lagi kes kehilangan kapal dan pesawat di kawasan Segitiga Bermuda terus kekal misteri dan tidak dapat diselesaikan.
Selepas lebih 500 tahun sejak peristiwa misteri yang menghantui Columbus dan anak kapalnya itu, masih tiada sebarang jawapan yang diperoleh berhubung punca sebenar misteri Segitiga Bermuda. Pelbagai kejadian misteri dan fenomena aneh juga terus berlaku bagaikan tidak berkesudahan sekali gus meletakkan Segitiga Bermuda sebagai antara wilayah paling misteri di dunia.
"Sesungguhnya Allah S.W.T sahaja yang tahu segala perihal Segitiga Bermuda kerana DIA lah yang maha berkuasa lagi maha mengetahui".
Sumber: Misteri Dunia (Rahsia Di Sebalik Rahsia) - Nasron Sira Rahim
No comments:
Post a Comment